Previous Next

Kunjungan Hormat Dan Pertemuan Naib Canselor UMP Bersama Ketua Pengarah Kerja Raya Dan CEO Bosch Rexroth Sdn. Bhd.

Kuala Lumpur, 15 Ogos 2022 - Naib Canselor UMP, YH Professor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin telah mengadakan kunjungan hormat dan bertemu dengan Ketua Pengarah Kerja Raya,

Ybhg Dato Sri Ir. Haji Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Bosch Rexroth Sdn Bhd, En Darren Chan baru-baru ini.

Kunjungan ini merupakan pertemuan pertama dengan kedua-dua Ketua Pegawai Eksekutif berkenaan setelah dilantik sebagai CEO@Faculty Programme 1.0 Learn From The Pros di UMP mulai 1 Februari 2022 lalu.
Dalam kedua-dua sesi kunjungan tersebut membincangkan berkenaan perancangan aktiviti dan program kerjasama UMP bersama Jabatan Kerja Raya dan Bosch Rexroth Sdn. Bhd. merangkumi aspek pembelajaran sepanjang hayat, penambahbaikan program akademik dari perspektif industri, pembangunan penyelidikan serta program sangkutan staf.
Selain itu, pihak Jabatan Kerja Raya turut berkongsi berkenaan projek-projek inovasi yang telah berjaya dilakukan seperti penggunaan sensor untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, produk inovasi untuk membantu menyelia tapak binaan serta mempunyai sebuah pusat latihan dan penyelidikan untuk pembangunan R & D yang berkaitan. Manakala pihak Bosch Rexroth juga turut berkongsi berkenaan dengan perkhidmatan dan servis yang disediakan dalam teknologi automasi hingga ke aplikasi hydraulik dan mobile.
Turut hadir sama dalam kedua - dua sesi kunjungan ini ialah Penolong Naib Canselor Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Prof Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Ir. Dr. Fadzil Mat Yahaya manakala untuk sesi kunjungan ke Bosch Rexroth Sdn. Bhd. turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektrik, Prof. Madya Dr. Hamdan Daniyal.
CEO@Faculty Programme 1.0 merupakan salah satu inisiatif dibawah Kementerian Pengajian Tinggi yang memberikan platform dan ruang kepada tokoh-tokoh industri dan juga perkhidmatan awam untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan kepakaran dengan pihak akademia.
Adalah diharapkan dengan kerjasama ini akan mewujudkan lebih banyak peluang penerokaan dalam bidang-bidang kepakaran yang disepakati bersama di samping memastikan perjalanan CEO@Faculty Programme mencapai matlamatnya.

Print   Email