Previous Next

Sukarelawan KILAU UMP tanam 400 pokok di Tasik Chini

10 September 2022 (Sabtu) |7.30 pagi - 10.30 pagi | Tasik Chini,Pahang
Seramai 50 sukarelawan KILAU Universiti Malaysia Pahang ( UMP) yang terdiri daripada pelajar dan staf Next Green Pulp and Papers (NGPP) hari ini menjayakan Program Penanaman Pokok
Sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Tasik Chini, Pahang.
Sebanyak 400 pokok yang terdiri daripada jenis Meranti Temak Nipis, Merawan Siput Jantan, Kasai dan Batai ditanam di sini.
Menurut Penolong Naib Canselor Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin, program ini sebahagian daripada usaha UMP dalam menyokong Kempen penanaman pokok anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).
“Program ini juga sebahagian usaha UMP ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dengan memperkenalkan Projek Alam@UMP di bawah Yayasan UMP dengan kolaborasi pihak industri untuk menjayakan penanaman 5000 pokok dalam tempoh 5 tahun,” katanya.
Penglibatan UMP dalam program CSR ini amat bermakna terutamanya dalam mencapai matlamat untuk memulihara alam sekitar melalui aktiviti penanaman pokok.
Malahan dapat memperkasakan initiatif ini dengan menyampaikan mesej mengenai kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan warisan alam semulajadi kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Di samping itu, aktiviti ini turut menyumbang kepada kriteria dalam penarafan UI Green Metric.
Pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih atas sumbangan 1000 anak pokok daripada Next Green Pulp and Papers Sdn Bhd ( NGPP) dalam menjayakan program ini.
Hadir sama dalam program Pengarah Urusan NGPP, Dato' Lim Thiam Huat.

Print   Email