ICoN - Official Portal

INDUSTRY & COMMUNITY      NETWORK DEPARTMENT (ICON)

Jelajah Alumni UMP Erat Hubungan, Kembali Berbakti

NFL 6328 NFL 6340

Selangor, 22 Disember - Seramai 124 orang alumni Universiti Malaysia Pahang (UMP) hadir dalam Program Jelajah Alumni- Alumni Industry Networking Hi-Tea bagi Zon Barat yang dianjurkan Unit Perhubungan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dengan kerjasama Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam baru-baru ini.

Pertemuan ini memberi peluang para alumni bertemu dengan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim bersama pengurusan universiti bagi berkongsi perkembangan dan informasi terkini tentang UMP. Ianya termasuklah perbincangan berkaitan Previu Industry Network Alumni Platform (INAP) dan mengumpulkan idea baharu daripada para alumni untuk sama-sama berusaha terhadap kecemerlangan universiti.

Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, UMP kini boleh berbangga dengan pertambahan bilangan alumninya yang kini telah mencapai jumlah 24,786 orang. Kini para graduan dan alumni juga telah berjaya membuktikan bahawa mereka bukan sahaja boleh menjadi jurutera atau teknologis yang kompeten, namun turut berkeupayaan menjadi usahawan dengan syarikat dan rangkaian perniagaan masing-masing.

“Alumni perlu memainkan peranan dan diberi ruang dan peluang yang seluasnya untuk kembali menyumbang kepada UMP sebagai alma mater mereka dalam pelbagai kapasiti dan platform, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi,” katanya.

Justeru itu, pihak pengurusan sentiasa membuka ruang kepada Persatuan Alumni UMP untuk meneroka peluang untuk membawa para graduan ini kembali ke kampus bagi memberi inspirasi kepada para juniors anda yang masih menuntut. Selain itu, berperanan aktif dalam membantu fakulti untuk memperkukuhkan lagi jaringan industri, kolaborasi strategik dan jalinan profesional masing-masing.

Dalam pada itu, inisiatif Industry Network Alumni Platform (INAP) yang dirintis pihak JJIM juga dilihat sangat signifikan dalam memberi nilai tambah yang tidak sedikit terhadap usaha-usaha berkaitan yang sedang dirancang dan bakal dijalankan pihak universiti.

Majlis turut menyaksikan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat & Kualiti (JHKK) Dr. Irene Ting Wei Kiong berkongsi tentang pencapaian UMP dalam penarafan universiti manakala Ahli Majlis Tindakan INAP, Mohd Faiz Zulkifli juga berkongsi maklumat tentang struktur jawatankuasa INAP dan perancangan kerjasama antara alumni dengan universiti. Melalui sesi perkongsian juga mereka berpeluang mengemaskini data Sistem e-Graduan yang telah dibangunkan sejak tahun 2012 sebagai medium carian data alumni.

Hadir dalam majlis Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato Dr Yuserrie Zainuddin, Pen. Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dr Jamil Ismail dan Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Abd Rahman Hj Safie.

#Berita disediakan oleh Pejabat Naib Canselor

Print Email