Majlis Pelancaran dan Perasmian Program Switching On Green Technology dan Pra Pelancaran Inisiatif STEM

11 Julai 2018 - Fakulti Kejuruteraan Teknologi (FTEK) dengan kerjasama Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) telah menganjurkan Majlis Pelancaran dan Perasmian Program Switching On Green Technology dan Pra Pelancaran Inisiatif STEM@UMP.

 Switching On Green Technology merupakan program pemindahan ilmu berkaitan teknologi solar secara asasnya yang sejajar dengan perkembangan STEM dan Teknologi Hijau masa kini. Bersesuaian dengan temanya ’ Menjana Ilmu Untuk kesejahteraan dan Kelestarian Alam’ pihak Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat mengambil peluang ini bagi melancarkan bersama Program-Program Inisiatif STEM @UMP dalam majlis ini.

Majlis pelancaran ini dirasmikan oleh En. Hairol Azizi Tajuddin Naib Presiden, Special Project & Renewable Energy Division, Malakoff Corporation Berhad serta diiringi bersama Professor Dr. Jamil Bin Ismail, Penolong Naib Canselor Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat, Universiti Malaysia Pahang.

Memetik dari ucapan aluan PNC JJIM, Kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) adalah merupakan suatu perkara penting dalam menghadapi persaingan global terutama berkaitan pembangunan tenaga bolehubah, mewujudkan dan mengekalkan ekonomi yang sihat serta memupuk inovasi dan kecemerlangan. Ianya selari dengan hasrat oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia dalam memperkasakan agenda STEM negara disamping mengukuhkan peranan UMP dalam memasyarakatkan teknologi melalui kepakaran akademianya.

Program-program di bawah inisiatif STEM @UMP merupakan program-program yang dirancang di bawah Lonjakan Strategik 5 Kemampanan Sosio-Ekonomi & Persekitaran – Khidmat Inovasi Komuniti (5b). Dibawah inisiatif ini terdapat 27 projek yang telah diluluskan dan akan dijalankan pada tahun ini. Melalui pelancaran inisiatif STEM@ UMP dilihat memberi kesedaran kepada warga UMP berkenaan STEM dan Teknologi Hijau seterusnya menjadi pemangkin kepada perubahan teknologi hijau pada masa depan.

Majlis ini juga turut dihadiri oleh Profesor Madya Dr. Andri Kusbiantoro Timbalan Dekan Penyelidikan Fakulti Teknologi Kejuruteraan,Puan Roslinda Binti Mat Musa Wakil Setiausaha Bahagian Dasar Dan Hubungan Antarabangsa (Unesco) Malaysia dan Tuan Haji Shiham Bin Ghafar,Ketua Penolong Pengarah Kanan JPS Malaysia.


Print   Email