Previous Next

Karnival STEM UMP terap budaya pemikiran saintifik, kreatif dan inovatif

5 Oktober 2022     |      Dewan Serbaguna, UMP kampus Pekan

…………………………………………………………………...........

Penganjuran Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menarik minat lebih 1000 pelajar sekolah sekitar negeri Pahang menyertai pelbagai program berteraskan kepada pembelajaran bersepadu dalam bidang STEM bagi meningkatkan daya saing dalam bidang sains serta teknologi kepada para pelajar sekolah.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, pendidikan STEM menjadi keutamaan kepada pihak sekolah dan universiti ke arah memartabat serta memperkukuhkan bidang terbabit kepada generasi muda pada masa akan datang.

Ujarnya, pendidikan STEM juga menekankan konsep berpandukan komponen 4C atau 4K iaitu komunikasi, kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritikal seperti yang terkandung di dalam pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) serta kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT)

“Pembangunan komponen ini dilihat dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai kemahiran tinggi dalam menyelesaikan masalah kompleks. Dunia pada masa kini berdepan dengan Industri 4.0 yang memerlukan generasi berpengetahuan tinggi dan berkeupayaan menghadapi cabaran teknologi baharu lebih kompleks.

“Pelbagai program dilaksanakan UMP dalam usaha meningkatkan bakat muda dalam bidang kecerdasan buatan (AI), data besar (big data) robotik, kod, dron dan juga dalam bidang teknologi baharu.” “Bidang STEM ini merupakan bidang ilmu yang berpaksikan teknologi dan program ini dapat membudayakan nilai teknologi, melihat aplikasi serta menanam sikap ingin mengetahui tentang ciptaan sesuatu inovasi itu,” katanya yang hadir merasmikan Karnival STEM UMP tahun 2022 di Dewan Serbaguna UMP Pekan. Beliau menghargai komitmen UMP yang giat melestarikan program STEM dan menghasilkan penyelidikan yang dapat menyumbang teknologi untuk masyarakat.

Hadir sama dalam program Naib Canselor UMP, Prof Dato’ Ts Dr Yuserrie Zainuddin, Pengarah Hal Ehwal Kerajaan dan Kawal Selia Indonesia, Brunei dan Malaysia, IBM Corporation, Hasnul Nadzrin Shah Abdul Halim Shah, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Bakat Murid) Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Mohd Shapie Meon. Turut sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Penolong Naib Canselor (Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat), Profesor Madya Ir Dr Nurul Hazlina Noordin.

Karnival yang telah berlangsung pada bulan Oktober yang lalu di kampus UMP akan memberi peluang pelajar mengikuti program Kebun IoT, Treasure Hunt, SD Modelling and Printing, Drone Assembly Workshop, STEM Digital Storytelling, Alarm@UMP, Underwater Robotics, Robotics With Lego dan pelbagai program.

 #TeknologiUntukMasyarakat
#duadekadUMP
#STEM


Print   Email